SEBUAH LOKASI PERKHEMAHAN PENGAKAP DI SUNGAI RAMBAI, MELAKA.

22nd. April 2009

Bakal Dilengkapi Pelbagai Kemudahan
DUN Sungai Rambai Lokasi Pengakap

SUNGAI RAMBAI, 1 April – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai bakal dijadikan sebagai salah sebuah lokasi perkhemahan pengakap, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman.

Beliau memberitahu, pihaknya sedang mengusahakan tanah seluas 1.2 hektar dalam kawasan DUN itu untuk dijadikan sebagai kawasan perkhemahan pengakap.

Beliau juga akan memastikan tapak perkhemahan itu akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti pejabat untuk mereka berurusan, selain kemudahan lain seperti internet, komputer dan lain-lain lagi.

Hasan berkata demikian di Majlis Penutup Perkhemahan Ujian Pra Pentaraf Pengakap Raja Daerah Merlimau, di Kompleks Sungai Rambai, di sini hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Merlimau, Kamaruddin Jantan dan Ketua Pendaftar Pengakap Raja Daerah Merlimau, Rahmad Md Jizad.

Jelas beliau, pihaknya ingin membantu pengakap dalam setiap kegiatan yang dilakukan dan setiap kegiatan yang dijalankan mereka dapat dikenali hingga ke peringkat antarabangsa dan masa kini, pengakap Daerah Merlimau beroperasi di Bangunan UMNO DUN Sungai Rambai.

Serentak dengan itu, beliau turut mengingatkan ahli pengakap muda supaya sentiasa mempunyai rasa semangat cintakan negara.

“Kita harus mempunyai rasa taat setia pada setiap Rukun Negara dan jika mempunyai berbeza fahaman politik sekali pun, tetapi apabila menyentuh tentang sejarah, kita boleh bersatu padu dalam mempertahankannya,” katanya.

Sehubungan itu, seramai 16 pengakap muda dari sekolah menengah menyertai perkhemahan pra ini sebelum mereka menyertai Perkhemahan Pengakap Raja peringkat Negeri Melaka pada 24 April ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Merlimau, Kamaruddin Jantan berkata, perkhemahan yang diadakan ini adalah untuk membina jati diri di kalangan ahli pengakap.

Katanya, pihaknya berharap agar pengakap yang menyertai perkhemahan ini dapat menjadi manusia berguna bukan sahaja pada diri sendiri, malah kepada keluarga dan negara apabila mereka dewasa kelak.